Monday 20 February 2012

KESENIAN MELAYU

Tiap-tiap bangsa yang sudah bertamadun di dunia ini mempunyai kesenian masinng-masing. Kesenian bukanlah hak milik seseorang individu atau sesuatu kelompok sahaja, tetapi ialah milik bangsa dan negara tersebut. Kesenian merupakan suatu bentuk penciptaan dan ekspresif yang bersifat terbuka dan boleh diungkapkan dan dihasilkan oleh sesiapa sahaja. Kesenian telah menjadi sebahagian daripada unsur dalam kehidupan manusia sejak awal kehidupan manusia. Misalnya, menurut ahli-ahli arkeologi, manusia telah menghasilkan imej-imej visual sejak zaman paleolitik. Antara hasil seni tertua ialah lukisan haiwan pada dinding-dinding gua. Seni purb ini memperlihatkan satu ciri yang sepunya dengan fungsi seni masyarakat primitive pada masa itu, iaitu sebagai keperluan asas bagi masyarakat untuk melindungi diri mereka daripada kuasa alam yang tidak diketahui oleh mereka.
Dalam zaman sains dan teknologi, fungsi seni telah berubah dan meliputi amalan ritual agama hinggalh kepada pemikiran psikologi manusia yang kompleks. Seni telah menjadi unsur yang amat fleksibel, dinamik dan sentiasa berkembang mengikut cita rasa masyarakat. Antara unsur budaya yang melahirkan kesenian ialah agama, kepercayaan, adat-istiadat dan juga bahasa. Setiap masyarakat mempunyai bentuk kesenian tersendiri yang merupakan gambaran keseluruhan pengalaman dan cita-cita hidup masyarakat itu. Kesenian merupakan pendorong yang membolehkan manusia berasa dan bertindak mengikut perkembangan ruang lingkup institusi seseorang.

KEBUDAYAAN MELAYU

Kebudayaan merupakan tamadun sesuatu masyarakat yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang berikutnya. Kebudayaan ini bersifat dinamik dan mempunyai ciri menerima dan menolak. Kebudayaan Melayu merujuk kepada keseluruhan sistem kehidupan yang dipratikkan oleh masyarakat Melayu. Dalamnya terkandung unsur sosial, kepercayaan, sistem symbol, unsur teknologi, ekonomi dan organisasi yang menjadi milik bersama masyarakat Melayu. Jika dilihat budaya Melayu dalam konteks negara Malaysia, ia merupakan sebahagian besar inti pati budaya Malaysia itu sendiri.
Kebudayaan Melayu boleh ditakrifkan sebagai cara hidup kumpulan manusia atau masyarakat orang  Melayu. Cara hidup sukar difahami kecuali melalui kebudayaan masyarakat tersebut. Budaya dapat membezakan masyarakat Melayu dengan masyarakat yang lain. Dalam konteks sosiologi, budaya Melayu bermaksud cara hidup yang menjadi kepunyaan bersama kalangan orang Melayu. Budaya Melayu yang ditonjolkan oleh masyarakat Melayu di Malaysia dapat menentukan keperibadian kebangsaan. Budaya  Melayu meliputi hal-hal tentang bahasa, agama, kesenian , adat, peraturan dan sebagainya. Kini, budaya Melayu dipersetujui sebagai teras kebudayaan kebangsaan dan mampu menerima unsur-unsur budaya kaum lain seperti Cina dan India.

KESUSASTERAAN MELAYU


Kesusasteraan Melayu merujuk kepada hasil karya dan ciptaan seni yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu. Dalam masyarakat Melayu tradisional, sastera bersatu dan berintegrasi dalam kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, seorang ibu yang menidurkan bayinya secara sengaja atau tidak, akan menyanyikan balada-balada yang berirama dan merdu.
Perkembangan masyarakat yang pesat pada hari ini telah mengubah dan menjarakkan hubungan sastera dengan kehidupan. Ibu-ibu yang juga bekerja sebagai pencari nafkah kini tidak sempat lagi menyanyi kepada anak-anak mereka. Banyak pekerjaan berat yang dahulunya dilakukan secara bergotong-royong sambil menyanyi, kini diambil alih oleh mesin dan jentera industri.
Akibat perubahan dan perkembangan masyarakat seperti ini, maka sastera juga berubah menjadi satu bidang kegiatan yang khusus dan tersendiri. Sastera menjadi hasil ciptaan seorang sasterawan yang diiktiraf oleh masyarakat melalui hasil-hasil karyanya yang dianggap bermutu. Sastera yang dahulunya dianggap bersifat kolektif dan hak milik bersama masyarakat sekarang menjadi kegiatan peribadi yang berhubung pernyataan diri dan hak cipta.
Pada hari ini, hubungan sastera dengan kehidupan merupakan satu perkara yang dijadikan perbincangan pula. Sebaliknya, dalam masyarakat tradisional, sastera memainkan peranan yang besar dan tidak terpisah secara lahiriah daripada kepercayaan kegiatan mencari nafkah, pekerjaan, permainan dan sebagainya.

MORFOLOGI

Morfologi merupakan bidang tatabahasa yang mengkaji perkataan dan cara-cara pembentukannya. Morfologi ialah bidang ilmu yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata. Stuktur kata bermaksud susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang tulisan yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Golongan kata ialah proses mengkategorikan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama. Justeru, morfologi bahasa Melayu ialah bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata dalam bahasa Melayu.
Unit terkecil dalam morfologi bahasa Melayu ialah morfem. Morfem berperanan untuk membentuk perkataan. Sesuatu perkataan itu mungkin terdiri daripada satu, dua atau lebih morfem. Misalnya perkataan jatuh merupakan satu morfem, tetapi perkataan terjatuh terdiri daripada dua morfem iaitu ‘ter’ + ‘jatuh’. Hal ini menunjukkan bahawa imbuhan juga ialah morfem dan disebut sebagai morfem terikat, manakala kata dasar pula disebut sebagai morfem bebas. Morfem terikat ialah morfem yang tidak dapat berdiri dengan sendiri dan hanya wujud bersama morfem yang lain. Morfem bebas ialah morfem yang dapat berdiri sendiri dalam ayat.
Semua perkataan adalah morfem tetapi tidak semua morfem adalah perkataan. Perkataan ialah unit bebas yang mengandungi makna dan dapat berdiri sendiri. Sebaliknya, morfem terikat tidak mengandungi makna dan tidak boleh berdiri sendiri. Makna sesuatu ayat hanya hadir apabila morfem tersebut digabungkan atau diimbuhkan kepada morfem bebas. Proses penyusunan dan penggabungan morfem ini perlu mematuhi peraturan system morfologi sesuatu bahasa. Dalam kenbanyakan bahasa seperti bahasa Melayu, proses pembentukan perkataan melibatkan pengimbuhan.
Terdapat beberapa istilah berkaitan morfem yang perlu kita ketahui iaitu morf dan alomorf. Unit-unit morfem yang telah direalisasikan itu disebut morf, iaitu elemen dalam bentuk kata yang kita dengar dalam pertuturan. Misalnya, perkataan ‘memakan’, morfnya ialah ‘me’ + ‘makan’. Tegasnya, morf disebut sebagai satuan gramatikal terkecil yang didengar dalam pengucapan. Alomorf pula ialah variasi yang terdapat dalam morfem terikat. Kebanyakan morfem terikat mempunyai sekurang-kurangnya satu alomorf. Sebagai contoh, morffem awalan ‘di-‘ hanya mempunyai satu alomorf iaitu ‘di-‘ itu sendiri, manakala morfem ‘me-‘ mempunyai enam alomorf iaitu ‘me-‘, ‘mem-‘, ‘men-‘, ‘meng-‘, ‘ meny-‘ dan ‘menge-‘.

SINTAKSIS

Penelitian terhadap korpus bahasa tidak lengkap jika kita tidak meneliti sintaksis. Sintaksis merupakan satu bidang kajian tentang tatacara binaan dan cara frasa, klausa dan ayat dibentuk. Bidang kajian sintaksis ini dipelopori oleh Noam Chomsky yang akhirnya melahirkan pengajian am tatabahasa transformasi generative oleh Frank Parker (1994).
Sintaksis dapat ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan ayat. Sintaksis juga merupakan kajian tentang hokum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah pengggabungan dan penyusunan perkataan dan kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa.
 Bidang sintaksis bukan sahaja melihat kehadiran jenis dan ragam ayat, tetapi juga rumus pembinaan unsur subjek dan predikat sebagai penentu pembentukan sesuatu ayat. Selain itu, terdapat juga ciri-ciri lain yang dipertimbangkan dalam pembinaan ayat, iaiatu penanda tatabahasa. Antara penanda tatabahasa yang sering terdapat dalam pembinaan ayat, ialah penanda kasus, penanda kala dan unsur keserasian.
Bahasa Melayu juga tiada penanda kala atau masa seperti dalam bahasa Inggeris, iaitu yang ditandai oleh past tense. Sebaliknya, bahasa Melayu menggunakan perkataan sedang, sudah, dan akan untuk menentukan kala atau waktu sesuatu kata kerja itu dilakukan. Unsur keserasian juga penting dalam pembentukan ayat. Tanpa memperlihatkan unsur keserasian ini ayat yang dibentuk tidak akan menjadi gramatis.
Satu lagi aspek yang termasuk dalam analisis atau persoalan sintaksis ialah ayat-ayat yang tidak menentu maknanya atau binaan yang menghasilkan ketaksaan ayat. Dalam menghasilkan ayat yang gramatis, seseorang itu perlu tahu dan mahir dalam beberapa aspek seperti mematuhi struktur binaan ayat, memahami hukum tatabahasa bahasa Melayu itu sendiri dan menyedari bahawa kegramatisan ayat itu mestilah bermakna.