Morfologi merupakan bidang tatabahasa yang mengkaji perkataan dan cara-cara pembentukannya. Morfologi ialah bidang ilmu yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata. Stuktur kata bermaksud susunan bentuk bunyi ujaran atau lambang tulisan yang menjadi unit bahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa, sama ada berbentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Golongan kata ialah proses mengkategorikan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk atau fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama. Justeru, morfologi bahasa Melayu ialah bidang yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata dalam bahasa Melayu.
Unit terkecil dalam morfologi bahasa Melayu ialah morfem. Morfem berperanan untuk membentuk perkataan. Sesuatu perkataan itu mungkin terdiri daripada satu, dua atau lebih morfem. Misalnya perkataan jatuh merupakan satu morfem, tetapi perkataan terjatuh terdiri daripada dua morfem iaitu ‘ter’ + ‘jatuh’. Hal ini menunjukkan bahawa imbuhan juga ialah morfem dan disebut sebagai morfem terikat, manakala kata dasar pula disebut sebagai morfem bebas. Morfem terikat ialah morfem yang tidak dapat berdiri dengan sendiri dan hanya wujud bersama morfem yang lain. Morfem bebas ialah morfem yang dapat berdiri sendiri dalam ayat.
Semua perkataan adalah morfem tetapi tidak semua morfem adalah perkataan. Perkataan ialah unit bebas yang mengandungi makna dan dapat berdiri sendiri. Sebaliknya, morfem terikat tidak mengandungi makna dan tidak boleh berdiri sendiri. Makna sesuatu ayat hanya hadir apabila morfem tersebut digabungkan atau diimbuhkan kepada morfem bebas. Proses penyusunan dan penggabungan morfem ini perlu mematuhi peraturan system morfologi sesuatu bahasa. Dalam kenbanyakan bahasa seperti bahasa Melayu, proses pembentukan perkataan melibatkan pengimbuhan.
Terdapat beberapa istilah berkaitan morfem yang perlu kita ketahui iaitu morf dan alomorf. Unit-unit morfem yang telah direalisasikan itu disebut morf, iaitu elemen dalam bentuk kata yang kita dengar dalam pertuturan. Misalnya, perkataan ‘memakan’, morfnya ialah ‘me’ + ‘makan’. Tegasnya, morf disebut sebagai satuan gramatikal terkecil yang didengar dalam pengucapan. Alomorf pula ialah variasi yang terdapat dalam morfem terikat. Kebanyakan morfem terikat mempunyai sekurang-kurangnya satu alomorf. Sebagai contoh, morffem awalan ‘di-‘ hanya mempunyai satu alomorf iaitu ‘di-‘ itu sendiri, manakala morfem ‘me-‘ mempunyai enam alomorf iaitu ‘me-‘, ‘mem-‘, ‘men-‘, ‘meng-‘, ‘ meny-‘ dan ‘menge-‘.
No comments:
Post a Comment